fbpx
REN BAO menerima trofi sebagai pelumba terbaik ASEAN peringkat ketiga selepas menamatkan perlumbaan dari Gerik ke Pasir Puteh di tempat ke-28. - MOHAMAD IQBAL ROSLI

LTdL 2025: Ren Bao ‘berani mati’ demi pelumba terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Pelumba muda negara yang sedang meningkat naik, Tsen Ren Bao mengakui sanggup mengambil risiko demi mendapatkan gelaran tersebut pada perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 hari ini.

Pada perlumbaan dari Gerik ke Pasir Puteh meliputi tiga zon pendakian dan tiga zon pecut itu menyaksikan pelumba pasukan St. George Continental Cycling tersebut menamatkan saingan di kedudukan ke-28.

Walaupun gelaran itu hanyalah untuk aksi peringkat, namun Ren Bao menganggap ia sebagai permulaan untuk dia memburu lebih banyak pencapaian cemerlang menjelang perlumbaan akan datang.

“Bagi saya, ini adalah satu permulaan dan ia benar-benar menaikkan motivasi saya. Saya rasa cukup baik pada peringkat awal (perlumbaan) dan cuba mengikut Jambaljamts Sainbayar tetapi dia melakukan serangan balas.

“Saya beritahu rakan sepasukan saya mahu mengerah segala kudrat, tidak kira pun yang terjadi sama ada saya terjatuh atau mati sekali pun. Saya sangat mahukannya (terbaik ASEAN) hari ini,” katanya.

Selain merangkul anugerah pelumba terbaik ASEAN yang diberikan secara harian, Ren Bao juga menjadi pelumba terbaik Malaysia bagi saingan peringkat ketiga itu.

Pelumba berusia 22 tahun itu turut menjelaskan, dia juga mengambil pendekatan lebih tenang ketika perlumbaan hampir ke garisan penamat dan menggunakan peluang yang ada ketika penamat beramai-ramai.

“Hari ini saya hanya perlu bertenang dan tidak fikir banyak bagi mengelakkan tindakan kurang bijak. saya hanya tenang dan ikut sahaja kelompok hadapan, apa yang berlaku biarlah berlaku,” ujar Ren Bao. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI