PELUMBA dari pasukan XDS Astana, Matteo Malucelli terus mencuri tumpuan apabila muncul pemenang peringkat ketiga saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang bermula dari Gerik dan tamat di Pasir Puteh hari ini.
Dalam perlumbaan dengan jarak 198.2 kilometer (km) merentasi banjaran Titiwangsa itu, dia berjaya mengharungi cabaran melibatkan tiga zon pendakian dan tiga zon pecutan sebelum menamatkan saingan dengan catatan masa empat jam 28 minit 4 saat (s).
Laluan peringkat ketiga boleh dianggap antara paling sukar kerana melibatkan aksi pendakian cukup mencabar selain berdepan cuaca tidak menentu serta angin lintang, terutamanya di Puncak Titiwangsa.
Malucelli mengakui sedikit bersalah kerana seolah-olah ‘mencuri’ kemenangan daripada jaguh Tour de France (TdF) dari pasukan Uno-X Mobility, Alexander Kristoff yang memburu kemenangan ke-99 dalam kariernya.
“Saya tidak pasti tetapi sebenarnya, rasa tidak selesa mengambil kemenangan daripada pelumba hebat seperti Kristoff. Bagaimanapun, dapat menang perlumbaan merupakan satu perasaan yang sangat baik.
“Ini juga satu hari yang sangat bagus untuk pasukan kami. Saya gembira kerana rakan sepasukan, Aaron Gate kerana dapat mengutip masa bonus sebanyak sembilan saat,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.
Dalam pada itu, Tsen Ren Bao dari pasukan St. George Continental Cycling muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia selepas menamatkan perlumbaan tersebut dalam kelompok hadapan biarpun bersaing dengan pelumba-pelumba handalan.
Selepas mengharungi aksi dengan laluan berbukit, peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman esok bakal menjadi ‘syurga’ buat pakar pecut apabila akan melalui jalan landai dengan tiga zon pecutan di Marang, Dungun dan Paka serta satu zon pendakian di Kijal.
Setakat ini, jersi hijau (keseluruhan) dan oren (Raja Pecut) masih kekal menjadi milik Malucelli manakala jersi polka dot (Raja Bukit) diambil alih pelumba Team Picnic-PostNL, Patrick Eddy. – KOSMO! ONLINE