fbpx
Fadillah melakukan simbolik pelancaran stesen janakuasa Pulau Indah. Foto oleh AFIQ RAZALI

Loji Pulau Indah jana 40 peratus tenaga elektrik Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) berkapasiti 1,200 megawatt membekalkan lebih 40 peratus daripada kegunaan tenaga elektrik di Lembah Klang.

Loji berskala besar berasaskan gas asli ini kini beroperasi sepenuhnya, membekalkan tenaga yang boleh dipercayai, cekap dan lebih bersih ke grid nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasiliti ini merupakan salah satu loji turbin gas kitaran gabungan paling moden dan efisien di negara ini.

Katanya, ia bukan sahaja meningkatkan kapasiti bekalan elektrik negara, malah memberi mesej jelas bahawa Malaysia serius dalam mengukuhkan keselamatan tenaga serta menjamin daya saing ekonomi.

“PIPP menjadi penstabil jangka panjang, memastikan bekalan tenaga kepada ekonomi, kediaman dan perkhidmatan kritikal sentiasa terjamin.

“Peralihan tenaga di Malaysia bukan sekadar retorik, tetapi satu transformasi nasional berpaksikan NETR sebagai asas masa depan tenaga bersih negara,” katanya ketika berucap merasmikan melancarkan PIPP, di sini hari ini.

PIPP merupakan usaha sama antara Worldwide Holdings Berhad sebanyak 75 peratus dan Korea Electric Power Corporation pula 25 dibina di kawasan tanah tebus guna seluas 60 ekar bersebelahan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

PIPP telah mencapai Tarikh Operasi Komersial pada 1 Mac lalu di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad dan dan telah menjana lebih daripada 2,500 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunannya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan pelaburan dalam infrastruktur tenaga berteknologi tinggi adalah kunci untuk menarik keyakinan pelabur dan memastikan Malaysia kekal berdaya tahan menghadapi cabaran pasaran antarabangsa.

“Projek berkenaan terbukti sebagai fasa pertama pelaksanaan NETR. Loji ini menggunakan teknologi turbin canggih yang menghasilkan pelepasan lebih rendah setiap megawatt.

“Ini sekali gus mempersiapkan Malaysia untuk memperluas tenaga solar, hidro dan hidrogen pada masa depan,” jelasnya.

Justeru katanya, menerusi PIPP, negara sedang meletakkan asas kepada peralihan tenaga yang inklusif berteraskan prinsip tadbir urus, sosial dan alam sekitar sekali gus memperkasa komuniti dan peluang pekerjaan serta alam sekitar ke arah ekonomi rendah karbon. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN