SEPANG – Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai seramai 400 pelayar antarabangsa termasuk 34 rakyat Malaysia dijangka berdepan situasi lebih kritikal apabila bakal berlayar memasuki zon merah kira-kira pukul 7 petang esok.
Pengarah Sumud Nusantara Media Coordination Center, Datuk Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, terdahulu, semua kapal berjaya memasuki zon kuning 2 kira-kira pukul 10 pagi atau 3 petang tadi waktu Malaysia.
“Kalau kita masuk dalam zon merah, ia akan dipecahkan kepada tiga zon iaitu zon 1, 2 dan 3. Semalam kita berjaya masuk zon kuning 1 dan hari ini kita masuk zon kuning 2.
“Zon merah ini kita akan kategorikan sebagai kritikal kerana pada bila-bila masa mereka boleh dipintas yang mana selalunya dipintas pada waktu malam melihat kepada apa yang berlaku kepada kapal Madeline, Handala dan Mavi Marmara (sebelum ini),” katanya di sini, tadi.
Katanya, buat masa ini, semua kapal kanvoi dilaporkan berada pada jarak sekitar 227 batu nautika dari pesisiran Gaza.
“Melihat kepada corak terakhir ketika mereka berada di zon kuning iaitu zon perlu diberi perhatian, kita menjangkakan satu kemenangan moral bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat dunia.
“Keadaan itu menggambarkan peluang konvoi GSF masuk ke Gaza semakin tinggi meskipun tidak mudah untuk katakan kita tidak akan dipintas.
“Selain itu, laluan dipilih juga ialah lautan antarabangsa, jadi daripada sudut perundangan kita masih lagi berada di atas laluan yang benar, tidak memasuki zon dikategorikan sebagai zon bahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE