LONDON – Arsenal mengharungi detik luar biasa musim ini apabila menjelmakan kebangkitan di hujung permainan untuk memastikan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Newcastle United di St. James Park kelmarin.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta meluahkan kepuasan dan menganggap kemenangan saat akhir itu membuktikan The Gunners mampu berada di tahap lebih baik sekali gus kekal memberikan tekanan kepada pendahulu liga, Liverpool yang tewas kepada Crystal Palace.
“Kita berbincang untuk ke tahap lebih baik dan kami perlu belajar daripada apa yang sudah berlaku. Hari ini adalah peluang buat kami menunjukkan siapa kami sebenarnya dan cita-cita yang kami ada.
“Kami melakukannya dengan cara luar biasa, kami tunjukkan kami boleh bermain dengan pelbagai cara untuk memastikan kemenangan. Venue ini salah satu gelanggang paling sukar kerana Newcastle adalah pasukan yang bagus.
“Jadi untuk menang dengan cara ini, ia sesuatu yang mengujakan. Bola sepak tentang emosi dan pada akhirnya, kami berjaya mengharungi detik terindah,” katanya.
Terdahulu, Nick Woltemade meletakkan The Magpies di depan sebelum Mikel Merino kembali menyamakan kedudukan diikuti gol kemenangan Arsenal yang dihasilkan oleh Gabriel Magalhaes.
Kini, Arsenal berada di kedudukan kedua dengan 13 mata, ketinggalan dua mata di belakang Liverpool, malah Arteta juga mengakui situasi sekarang adalah perkembangan penting buat The Gunners untuk memburu kejuaraan musim ini. – AGENSI