KUALA LUMPUR – Wanita memainkan sumbangan dalam memastikan agenda keamanan sesebuah negara dan seterusnya kepada dunia, menerusi peranan mereka bermula dari rumah.
Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar berkata, menerusi konflik yang pernah dan sedang berlaku termasuk di Gaza, Palestin, ia memberi kesan kepada seluruh rakyat termasuk wanita dan kanak-kanak.
Menurutnya, justeru satu tindakan perlu dibuat bagi mengelakkan sebarang konflik yang berlaku berlanjutan hingga mencetuskan krisis.
“Kita nak pastikan ia berakar di bawah, bagaimana kita boleh elak konflik dan pastikan tidak sampai ke tahap meledaknya krisis. Pada masa ini berlaku pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Asia Tenggara haruslah memastikan agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan berakar, apakah faktor-faktor utama mampu kita harap daripada memulakan keamanan ini dari rumah hinggalah ke peringkat negara, seterusnya kepada hubungan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Kepimpinan Wanita Asia Tenggara bertemakan Wanita, Keamanan dan Keselamatan di bangunan Parlimen di sini, hari ini. Ia dianjurkan dengan kerjasama badan pemikir Polity, Parlimen Malaysia serta Global Asia Consulting.
Nurul Izzah berkata, generasi muda termasuk rakyat Malaysia dan Asia Tenggara penting untuk mempelajari sejarah masing-masing melalui konflik yang pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, antara konflik tersebut seperti di Mindanao melibatkan Bangsa Moro di Filipina dan terbaharu gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
“Malaysia tidak ada konflik yang aktif, selalu memainkan peranan sebagai pengaman atau perunding dalam sebarang penjanjian sebagainya,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai misi kemanusian Global Sumud Flotilla yang disertai sukarelawan Malaysia khususnya golongan wanita dalam mewakili negara.
“Apa yang sedang berlaku di Gaza, kita tidak boleh lupa misi Global Sumud Flotilla memperlihatkan wanita Malaysia mewakili negara. Kita tak boleh nafikan impak kepada wanita dan suara golongan ini dalam mencari penyelesaian,” katanya.
Berhubung program hari ini, Nurul Izzah berkata, ia bagi memperkukuhkan agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan yang mana satu Pelan Tindakan Nasional bagi perkara itu akan diperkenalkan seperti dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sebelum ini Nancy dipetik berkata, satu Pelan Tindakan Nasional mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan akan diperkenalkan dan ia penting khusus dalam memastikan golongan wanita dilindungi termasuk ketika berlakunya krisis dan bencana. – KOSMO! ONLINE