IPOH – Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi dan Lembaga Disiplin Parti untuk mengambil tindakan segera terhadap semua pihak yang mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar parti.
Beliau yang mengulas tentang isu membabitkan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung isu membabitkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia seharusnya dilakukan melalui saluran rasmi.
“Kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah telah menjejaskan nama baik dan imej parti di mata rakyat.
“Ia langsung tidak mencerminkan disiplin dan adab berorganisasi yang menjadi tunjang dan kekuatan kepada Bersatu sejak awal penubuhannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata, Bersatu Perak menegaskan bahawa parti mempunyai saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan dan menyelesaikan perbezaan pendapatan.
Justeru, katanya, tindakan mengeluarkan kenyataan terbuka dengan nada mencabar kepimpinan parti adalah perbuatan yang tidak wajar malah hanya membuka ruang serta mengundang keraguan terhadap kesatuan saf perjuangan Bersatu.
“Sehubungan itu, kami menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi dan Lembaga Disiplin Parti untuk mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli, termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan yang telah mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar parti.
“Langkah tegas ini penting bagi mengelakkan gejala tidak berulang dan menular dalam parti,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, Bersatu Perak juga menyeru seluruh ahli di semua peringkat untuk kekal teguh dan menyatakan sokonganyang tidak berbelah-bahagi kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepimpinan parti.
Beliau turut menggesa agar mereka tidak terpengaruh dengan mana-mana gerakan yang boleh merosakkan nama baik Bersatu.
Media semalam melaporkan, Wan Saiful pada sidang akhbar mendakwa Mohamed Azmin mengugut beberapa ketua bahagian parti itu supaya menarik balik daripada menandatangani akuan bersumpah (SD) menjatuhkan Presiden.
Katanya, ugutan itu dilakukan terhadap Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Shukor Mustafa ketika mereka dipanggil bertemu Mohamed Azmin. – KOSMO! ONLINE