JAKARTA – Agensi Perkhidmatan Awam Daerah memanggil dua guru besar susulan sebuah video tular memaparkan mereka leka berkaraoke ketika sesi pembelajaran, lapor laman berita Detik semalam.
Pemangku Ketua Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan Pandeglang, Didin Pahrudin berkata, guru pasangan suami isteri itu dipanggil dan diberikan teguran kerana melanggar kod etika.
“Mereka mengakui kesilapan itu dan memohon maaf kepada penduduk daerah Pandeglang,” kata Didin.
Didin berkata, perbuatan itu dilakukan di Sekolah Dasar Ciodeng 2 Kecamatan Sindangresmi, Pandeglang, wilayah Banten semasa sesi pembelajaran.
“(Kejadian) dilaporkan pada pukul 11 pagi (waktu tempatan),” katanya.
Tambah Didin, mereka bertindak demikian untuk menguji televisyen pintar yang disediakan kerajaan pusat kepada sekolah berkenaan.
Ujarnya lagi, kedua-dua guru itu juga diketahui gemar menyanyi.
“Kerajaan pusat menyediakan set televisyen dan sistem bunyi untuk percubaan. Disebabkan mereka gemar menyanyi, mereka berduet,” katanya.
Dalam video tular yang dilihat semalam, dua guru berpakaian seragam penjawat awam Indonesia berwarna coklat dilihat sedang leka berkaraoke dan menari.
Guru lelaki memegang mikrofon sambil menonton televisyen pintar, manakala guru wanita berdiri di belakang dan mereka menyanyi bersama. – AGENSI