ALOR SETAR – Dua individu termasuk seorang pesara guru kerugian lebih RM470,000 setelah terpedaya sindiket pelaburan tidak wujud di media sosial yang kononnya menawarkan keuntungan sehingga 100 kali ganda.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintenden Loi Yew Lik berkata, pesara guru berusia 60 tahun tahun dari Kampung Parit Buaya, di sini kerugian RM160,000 selepas menyertai skim pelaburan kononnya ditawarkan sebuah syarikat di Facebook, Julai lalu.
“Wanita berkenaan membuat laporan polis pada pukul 11.45 pagi, semalam mendakwa terpedaya konon akan memperoleh keuntungan RM23,000 dalam tempoh tiga jam daripada pelaburannya sebanyak RM224. Namun, untuk mengeluarkan wang tersebut mangsa diminta membuat bayaran tambahan.
“Dalam tempoh tersebut mangsa akhirnya membuat 49 transaksi berjumlah RM160,000 ke 30 akaun bank berbeza antara 22 Julai hingga 3 September lalu, termasuk menggunakan wang simpanan Tabung Haji. Mangsa kemudian merasa ditipu dan membuat laporan polis semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, kata beliau, dalam satu kes berasingan di Kulim, pihaknya turut menerima laporan polis dari seorang pengurus berusia 43 tahun yang kerugian lebih RM314,000 selepas menyertai skim pelaburan pada pukul 8 malam tadi.
“Wanita itu dikatakan berhubung dengan beberapa individu melalui WhatsApp dipercayai dari luar negara dan membuat bayaran berperingkat ke tiga akaun berbeza antara 4 Ogos hingga 23 September lalu.
“Mangsa ada menerima pulangan awal sebanyak RM5,000 namun selepas itu diminta terus membuat tambahan bayaran untuk mendapatkan baki pulangan yang dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE