BAGAN SERAI – Misteri penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tembakan di Semanggol, di sini, kelmarin terbongkar apabila siasatan polis mendapati mangsa dipercayai maut selepas ditembak oleh saudaranya sendiri yang menyangka haiwan buruan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika suspek bersama dua lagi rakannya memburu di kawasan Batu Caves, Selangor kira-kira pukul 8 malam pada 28 September lalu.
“Selepas menyedari mangsa terkena tembakan, mereka berpakat membawa mayat ke Semanggol menggunakan tiga kenderaan sebelum ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap bagi mengaburi kejadian sebenar,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihak polis menerima panggilan orang awam pada pukul 3.55 pagi, semalam memaklumkan seorang lelaki Melayu berusia 43 tahun ditemui tidak bernyawa di Kampung Selamat, Semanggol.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan di bahagian belakang badan mangsa yang dipercayai akibat terkena tembakan. Pegawai kesihatan dari Klinik Kesihatan Semanggol mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,”katanya.
Tambah beliau, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian kemudian bertindak pantas menahan dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun hari sama di Kampung Selamat.
Katanya, salah seorang suspek mempunyai pertalian saudara dengan mangsa.
“Pada malamnya kira-kira pukul 8.30 malam, seorang lagi lelaki berusia 36 tahun ditahan di Batu Caves dengan kerjasama BSJ IPD Gombak,” katanya.
Polis turut merampas sebuah Toyota Vellfire, sebuah Mazda BT50, sebuah Toyota Hilux, dua laras senapang buatan sendiri, 11 butir peluru 12 bore serta empat telefon bimbit untuk membantu siasatan.
Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 30 September hingga 6 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Polis masih mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kerian, Asisten Superintendan Ambri Mat Nayan di talian 012-5306567 atau IPD Kerian di talian 05-7215222,” katanya. – KOSMO! ONLINE