LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca melaungkan keyakinan tinggi anak-anak buahnya mampu keluar daripada rekod buruk ketika ini yang menyaksikan mereka tewas tiga daripada empat aksi terakhir.
The Blues tewas 1-3 kepada Bayern ketika aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan dua kekalahan Liga Perdana Inggeris (EPL), 1-2 di tangan Manchester United serta terbaharu 1-3 terhadap Brighton.
Daripada empat perlawanan itu, Chelsea yang berstatus juara kelab dunia, hanya mampu menang tipis 2-1 ke atas kelab divisyen ketiga, Lincoln City pada aksi Piala EFL.
Malangnya, pertemuan seterusnya bakal menyaksikan Chelsea bertemu bekas pengendali, Jose Mourinho yang kini membimbing Benfica menjelang aksi kedua UCL di Stamford Bridge awal pagi esok.
Begitupun, Maresca enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal, sebaliknya bertekad untuk memastikan kemenangan mampu dicapai dengan harapan pasukannya tidak lagi ‘dihantui’ masalah kad merah dialami dua aksi berturut-turut.
“Benar memang kecewa dengan apa yang berlaku kerana kami sepatutnya boleh menjaringkan lebih daripada satu gol (menentang Brighton). Malangnya, kami terpaksa bermain dengan 10 orang dan ia menyukarkan keadaan.
“Sekarang kami ada 72 jam untuk bersiap dan selepas itu kami akan bangkit. Rehat tiga hari ini akan dimanfaatkan sebaiknya. Saya harap para pemain ‘melepaskan kemarahan’ dan memenangi aksi itu,” katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan, Chelsea ternyata menjadi pilihan menerusi tiga kemenangan dan satu seri daripada empat perlawanan menentang Benfica dengan kali terakhir menang 4-1 sewaktu pusingan 16 terbaik Piala Kelab Dunia, Jun lalu. – AGENSI