SATU laporan bertajuk Kesihatan di Tempat Kerja mendapati bahawa sebanyak dua pertiga daripada tenaga kerja di Malaysia mengalami burnout, meningkat daripada 58 peratus pada 2022 kepada 67 peratus tahun lepas.
Laporan dikeluarkan firma pekerjaan global dan penyedia perisian gaji dan faedah, Employment Hero itu mendedahkan bahawa Millenial adalah generasi yang paling teruk terjejas, dengan 69 peratus melaporkan burnout. Ia diikuti rapat oleh 64 peratus pekerja daripada Generasi Z atau Gen Z.
Menurut istilah yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, burnout didefinisikan sebagai suatu sindrom akibat tekanan kronik di tempat kerja yang tidak berjaya diuruskan. Ia adalah keadaan apabila berlakunya keletihan yang ketara dari segi fizikal, emosi dan mental serta perasaan ragu-ragu tentang keupayaan diri dan nilai pekerjaan individu.
Ketika dunia mengalami peredaran zaman teknologi yang semakin mencabar serta persaingan industri yang kian sengit, lambakan tugasan di tempat kerja sememangnya tidak dapat dinafikan.
Ini diburukkan lagi apabila sesebuah organisasi melakukan langkah penjimatan kos yang menyebabkan sesebuah unit atau jabatan beroperasi dalam kapasiti pekerja yang minimum.
Keadaan itu menyebabkan pekerja terbeban dengan tugasan yang banyak dan tarikh akhir yang ketat serta dalam masa sama, kualiti hasil pekerjaan perlu diutamakan.
Ia membuatkan ramai pekerja berasa tertekan sehingga membuatkan kualiti pekerjaan mereka merudum, meletak jawatan atau lebih teruk lagi menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.
Menurut Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, burnout yang semakin kerap berlaku adalah bukti bahawa sememangnya wujud konflik antara tuntutan kerja yang melampau dengan sumber daya dan sokongan yang tidak mencukupi di tempat kerja.
“Fenomena ini semakin serius di Malaysia disebabkan budaya kerja lebih masa yang dilaksanakan secara tidak sihat dan disamakan dengan komitmen kerja sehingga mencetuskan ketidakseimbangan kerja dengan kesejahteraan hidup yang teruk,” katanya.
Tambah Mohd. Suhaimi, isu multitasking tanpa kenaikan gaji yang setara adalah teras kepada isu ketidakadilan sosial yang boleh mencetuskan burnout.
“Pekerja sering terperangkap kerana kos sara hidup yang tinggi dan kuasa tawar-menawar yang rendah sehingga memaksa mereka menerima beban kerja yang tidak adil demi kelangsungan hidup.
“Gaji yang tidak setimpal dengan skop dan tekanan kerja menimbulkan perasaan tidak dihargai dan kemarahan yang terpendam sehingga ia menjadi pencetus utama burnout,” jelas beliau.
Menurut Mohd. Suhaimi, mengatasi burnout memerlukan intervensi dua hala yang seimbang.
“Majikan perlu memainkan peranan utama menerusi campur tangan peringkat struktur, termasuk menyusun semula bebanan kerja agar lebih realistik, melaksanakan waktu kerja fleksibel dan dasar kesihatan mental serta sokongan psikososial di tempat kerja,” katanya.
Burnout boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, pekerja cemerlang, setia, sambilan, sementara mahupun pegawai kanan.
Jika majikan atau rakan sekerja mengesan perubahan sikap atau cara kerja seseorang kakitangan, bantuan dan sokongan perlu diberikan segera agar masalah tersebut tidak berlarutan atau menjadi semakin buruk sekiranya dibiarkan.














