KUCHING – Skim subsidi petrol bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) harus inklusif untuk pengusaha bot penumpang dan komuniti sungai khususnya di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia adalah keperluan mendesak untuk memastikan inklusiviti bagi pengusaha bot serta komuniti sungai dan pesisir yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air.
“Kumpulan ini tidak boleh ketinggalan daripada skim tersebut yang diterima baik di seluruh negara. Ia mencerminkan komitmen kuat kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Unit Perancang Ekonomi Sarawak akan mengadakan mesyuarat esok bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membincangkan mengenai kemasukan sektor pengangkutan air Sarawak di bawah Budi95.
Katanya, sebagai persediaan, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) diarah bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, KPDN dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyediakan data pengangkutan air yang komprehensif di Sarawak.
Data itu penting untuk menyokong hala tuju dasar, pembuatan keputusan yang tepat dan peruntukan kuota, memastikan inklusiviti untuk semua kumpulan yang layak. – KOSMO! ONLINE