BUKIT KAYU HITAM – Demi cinta, seorang remaja perempuan sanggup melakukan apa sahaja untuk bersama teman lelakinya termasuk menelan pil khayal, setiap kali menemani kekasihnya itu berhibur di Danok, Thailand.
Remaja berusia 19 tahun yang akan menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu juga mengakui sering mengikut teman lelakinya berusia 25 tahun setiap bulan ke Danok untuk berhibur di kelab malam di sana.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasangan kekasih itu baru-baru ini, apabila kedua-dua mereka ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah ketika kembali ke tanah air di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, selepas didapati positif ekstasi.
Tini (bukan nama sebenar) mengakui dia berbuat demikian kerana bimbang teman lelakinya yang bekerja di Pulau Pinang berfoya-foya dengan wanita lain di Danok.
“Setiap kali dia mahu ke Danok, saya akan ikut kerana takut dia akan bersuka ria dengan perempuan lain di sana. Apabila di kelab malam, kami akan mengambil ekstasi untuk berhibur.
“Setiap bulan, apabila cuti hujung minggu, kami akan ke Danok dan keesokan harinya kami akan pulang. Bagaimanapun, ketika mahu pulang pada awal pagi, kami telah ditahan AADK,” katanya.
Menurut Tini, keluarganya tidak mengesyaki apa-apa kerana dia memberi alasan mahu bermalam di rumah kawan.
Turut ditahan bersama remaja terbabit ialah rakannya, Dina (bukan nama sebenar), 35, yang juga ibu tunggal kepada dua anak, bersama teman lelakinya berusia 25 tahun.
“Mula-mula nak ikut teman lelaki saja bersuka ria, tetapi di kelab malam saya diberi pil ekstasi kononnya untuk menjadikan saya lebih seronok dan khayal berhibur.
“Kesudahannya, ia menjadi kebiasaan kepada kami setiap kali berhibur di Danok.
“Dekat sana bebas sahaja, di sini mungkin risau juga nak buat perkara seperti ini. Sudah banyak kali berhibur di sana tetapi akhirnya kantoi juga,” ujarnya yang berasal dari Pokok Sena.
Pada 18 September lalu, Kosmo! melaporkan keseronokan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkunjung ke Thailand sempena cuti sekolah tidak berpanjangan apabila ditahan selepas didapati positif ketamin.
Remaja berusia 17 tahun itu bersama tiga rakannya berusia 18 tahun ditahan ketika menunggang motosikal di ICQS Bukit Kayu Hitam.
Pelajar itu mengaku kali kedua mengambil dadah dengan alasan tertekan dan ingin mencuba.














