KANGAR – Seorang bekas pengurus syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memalsukan Laporan Program Intervensi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM748,000 pada 2015.
Tertuduh, A. Christopher, 48, didakwa dengan sengaja memalsukan dokumen itu antara 21 hingga 29 Disember 2015 di Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan, Universiti Malaysia Perlis, Arau dekat sini.
Dokumen itu mengandungi senarai 113 graduan KPT kononnya diserap bekerja di Orins Group International dan 102 graduan lain yang didakwa ditempatkan di Nuriftitah D&D.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S. Sujatha mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 berserta syarat perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada peguam.
Peguam K. Hari Krishnan merayu jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM5,000 kerana anak guamnya menghadapi masalah kewangan dan kini menyara hidup sebagai pemandu e-hailing.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menetapkan jaminan RM25,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin yang bermastautin di Perlis berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. – KOSMO! ONLINE