PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur terhadap pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95), bermula hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, insiatif membabitkan pemberian subsidi bersasar petrol RON95 tersebut semata-mata untuk rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, untuk rakyat,” katanya ringkas berserta tanda suka dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau merujuk kepada laporan media bahawa inisiatif subsidi bersasar Budi95 diperkenalkan kerajaan disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Inisiatif tersebut dilaporkan bukan saja membantu meringankan beban kos bahan api, malah rakyat mengakui penjimatan ketara sejak ia mula dilaksanakan.
Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 menerusi inisiatif Budi95 pada harga RM1.99 seliter dianggarkan memanfaatkan lebih 16 juta rakyat Malaysia.
Bagi bukan warganegara pula, harga petrol RON95 adalah pada RM2.60 seliter. – KOSMO! ONLINE