JAKARTA – Anggota-anggota penyelamat bergegas untuk mencari dan mengeluarkan sekurang-kurangnya 38 orang yang masih terperangkap selepas bangunan sebuah sekolah pondok runtuh di Indonesia, mengakibatkan tiga mangsa terkorban, kata pihak berkuasa.
Bangunan di Pulau Jawa itu runtuh semalam ketika pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar, kata laporan tempatan, memetik seorang saksi.
Keluarga dan waris mangsa pula berkumpul di sekitar bangunan bertingkat itu di bandar Sidoarjo, wilayah Jawa Timur.
“Jumlah keseluruhan mangsa ialah 102 orang. Seramai 99 orang terselamat, terdapat 3 kematian,” kata ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan(Basarnas), Mohammad Syafii.
Menurutnya, pasukan penyelamat bertungkus lumus untuk mengeluarkan mangsa terselamat yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana(BNPB) Abdul Muhari berkata, petugas-petugas penyelamat masih mencari 38 orang yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Ketua sebuah hospital tempatan di Sidoarjo, Atok Irawan pula memberitahu pemberita bahawa dua orang meninggal dunia akibat kecederaan hari ini ketika mereka dirawat di bilik kecemasan hospital.
Standard pembinaan yang longgar menimbulkan kebimbangan meluas mengenai keselamatan bangunan di Indonesia.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas sebuah bangunan yang menganjurkan bacaan doa runtuh di Jawa Barat. – AFP