WASHINGTON – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan sebilangan lagi cedera selepas seorang penembak menyerang gereja Mormon di Grand Blanc, negeri Michigan, kata pihak berkuasa, dalam tragedi berdarah terbaru yang disifatkan oleh Presiden Donald Trump sebagai sebahagian daripada ‘wabak keganasan’ di Amerika Syarikat(AS).
Polis Michigan berkata, penembak memandu kenderaannya dan merempuh gereja terbabit sebelum melepaskan tembakan dengan raifal tempur semalam. Dia kemudian membakar bangunan itu.
“Polis bertindak balas dan menembak mati penyerang,” ketua Polis Grand Blanc, William Renye memberitahu sidang akhbar.
Menurutnya, veteran perang Iraq Thomas Jacob Sanford, 40, dinamakan sebagai suspek. Dia ditembak mati oleh polis beberapa minit selepas melepaskan tembakan, manakala jarak rumah suspek dan gereja cuma 15 minit pemanduan
Renye berkata, selain dua korban diumumkan lebih awal semalam, dua lagi mayat ditemui di bawah runtuhan gereja dengan usaha mencari diteruskan setakat semalam.
Terdahulu, beliau berkata, lapan orang turut cedera dalam serangan itu dengan salah seorang kritikal.
Di Washington, Trump menyifatkan serangan itu ‘mengerikan’ dan berkata, ia ‘satu lagi serangan yang disasarkan terhadap penganut Kristian AS’.
Diasaskan pada tahun 1830, gereja Mormon yang berpusat di negeri Utah, barat AS, mempunyai berjuta-juta penganut di seluruh dunia. – AFP