WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Donald Trump bakal menyaksikan peletakan jawatan terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) esok, dengan lebih 100,000 pekerja persekutuan bersedia berhenti secara rasmi, lapor akhbar The Guardian.
Ia adalah sebahagian daripada gelombang terbaharu program peletakan jawatan yang tertunda.
Dengan Kongres berdepan tarikh akhir esok untuk meluluskan lebih banyak peruntukan atau berdepan risiko penutupan kerajaan, White House mengarahkan agensi-agensi persekutuan merangka rancangan pemecatan pekerja secara besar-besaran jika parti pemerintah dan pembangkang gagal mencapai kesepakatan.
Sebilangan pekerja berkata, mereka berdepan ugutan dan berada dalam ketakutan selama berbulan-bulan selain tidak mempunyai pilihan melainkan melepaskan jawatan masing-masing.
“Kakitangan persekutuan dijadikan kambing hitam, apabila keselamatan pekerjaan mereka tidak menentu dan apabila keseimbangan kerja-kehidupan dilucutkan, mereka berundur,” kata seorang pekerja lama di Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan kepada The Guardian.
Program peletakan jawatan itu menelan belanja sebanyak AS$14.8 bilion (RM62.3 bilion), dengan 200,000 pekerja dibayar gaji dan faedah penuh mereka semasa cuti pentadbiran sehingga lapan bulan, demikian menurut laporan Senat Demokrat pada Julai lalu. – AGENSI