fbpx
Steven ketika berucap di Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Tragedi Elmina buka mata pentingnya perlindungan pekerja gig – Steven Sim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos 2023 bukan sahaja meragut nyawa penumpang dan kru, malah mengorbankan dua pekerja gig yang kebetulan melalui lebuh raya berkenaan.

Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong berkata, peristiwa tragis itu turut membuka mata negara mengenai kepentingan perlindungan sosial kepada golongan pekerja gig yang selama ini berada di luar jaringan perlindungan menyeluruh.

Mengulas mengenai nahas tersebut, Steven berkata, seorang daripada mangsa, penunggang p-hailing berusia 32 tahun, baru memperbaharui caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dua bulan sebelum kejadian.

Katanya, kini keluarga mangsa menerima pencen bulanan hampir RM2,000 yang menjamin kelangsungan hidup mereka meskipun kehilangan pencari nafkah utama.

“Seorang lagi mangsa iaitu pemandu e-hailing berusia 53 tahun yang mempunyai dua anak bersekolah, pernah mencarum tetapi terhenti atas sebab tertentu.

“Keluarganya ditinggalkan tanpa sebarang perlindungan, menanggung kesedihan berganda bersama beban kewangan yang tidak pasti.

“Tragedi sama, tempat sama, waktu sama, tetapi nasib berbeza hanya kerana satu perkara iaitu perlindungan keselamatan sosial,” katanya ketika berucap di Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Menurut Steven, kisah nahas Elmina menjadi simbol mengapa kerajaan mengambil langkah berani memperkenalkan Akta Pekerja Gig yang diluluskan Parlimen bulan lalu, sekali gus menjadikan perlindungan sosial sebagai mandatori untuk jutaan pekerja gig di negara ini.

“Dulu, perlindungan bergantung kepada caruman sukarela. Ada yang dilindungi, ada yang tidak. Tetapi dengan undang-undang baharu, jurang itu telah ditutup.

“Kita boleh yakinkan rakyat bahawa tragedi pengabaian seperti ini tidak akan berulang,” katanya.

Steven menegaskan, langkah itu sejajar dengan visi Malaysia Madani yang mengangkat martabat insan, memastikan tiada pekerja atau penjaga yang berkorban dibiarkan tanpa pengiktirafan dan perlindungan.

Beliau menambah, Malaysia kini melindungi lebih 10 juta pekerja di bawah skim Perkeso, selain sejuta pekerja sendiri dan lebih setengah juta suri rumah melalui skim Lindung Kasih.

“Apabila pekerja dilindungi, keluarga mereka terjamin, dan pada masa sama, ekonomi negara turut mendapat manfaat berganda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN