PETALING JAYA – Modus operandi licik sebuah syarikat kononnya menawarkan pakej perkahwinan terbongkar apabila pemiliknya ditahan polis selepas dipercayai menipu 11 pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima 11 laporan polis membabitkan kes tipu bersemuka dalam urusan mendapatkan pakej perkahwinan.
“Daripada jumlah itu, tujuh kes dilaporkan di Gombak, dua di Sungai Buloh, manakala masing-masing satu kes di Ampang Jaya dan Sepang. Jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM309,299,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati semua mangsa membuat laporan terhadap sebuah syarikat milik seorang lelaki tempatan yang menawarkan pelbagai pakej perkahwinan.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu diarahkan membuat bayaran penuh secara dalam talian sebelum tarikh majlis. Namun, selepas bayaran dibuat, suspek gagal dihubungi serta tidak melaksanakan pakej dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata, hasil tindakan lanjut, seorang lelaki tempatan yang juga pemilik syarikat berkenaan telah ditahan.
Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan suspek kini sudah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada dengan tawaran pakej perkahwinan murah serta membuat semakan dengan agensi berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. – KOSMO! ONLINE