PETALING JAYA – Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki zon berisiko tinggi berhampiran Gaza dalam tempoh dua hari lagi.
GSF memaklumkan, kapal utamanya, Ohwayla dan All In, kini berada 366 batu nautika dari Gaza, dengan jangkaan tiba dalam tiga hingga empat hari.
“Kapal kami kini berjumlah 44 buah, diperkukuh dengan pelancaran dua buah bot baharu yang sedang belayar menuju ke kapal (ini).
“Dalam tempoh dua hari sahaja lagi, flotila ini akan memasuki zon berisiko tinggi.
“Tekad kami adalah mutlak, namun inilah detik di mana kewaspadaan dan solidariti global anda amat diperlukan,” kata GSF menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, kerajaan memberi jaminan keselamatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza akan sentiasa dipantau rapi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, dalam tempoh beberapa hari, kebanyakan daripada 47 buah bot itu, dijangka memasuki zon kuning berhampiran perairan Gaza yang berisiko tinggi berdepan gangguan tentera Israel.
Menurutnya, pihak kerajaan melalui Wisma Putra akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa kepada keluarga serta media mengenai keselamatan peserta misi tersebut. – KOSMO! ONLINE