NEW DELHI – Seorang jurutera perisian berdepan detik cemas apabila belakang lututnya digigit seekor tikus liar semasa menunggu untuk menaiki pesawat di sebuah lapangan terbang di India, lapor portal berita Must Share News.
Arun Modi, 33, dan isterinya sedang menunggu penerbangan mereka menuju Bangalore di ruang rehat Lapangan Terbang Antarabangsa Indore pada Selasa minggu lalu.
Situasi bertukar cemas apabila seekor tikus tiba-tiba masuk ke dalam seluar Modi dan menggigitnya.
Modi terpaksa menanggalkan seluarnya di khalayak ramai sebelum berjaya menangkap tikus itu.
Lapangan terbang tersebut tidak mempunyai vaksin bagi penyakit rabies, menyebabkan mangsa hanya diberi suntikan tetanus dan ubat antibiotik.
Dia menerima vaksin rabies selepas tiba di Bangalore, lapor akhbar The Times of India.
Selepas kejadian itu, pihak berkuasa mengenakan denda ke atas agensi kawalan makhluk perosak yang diberikan kontrak pembersihan di lapangan terbang Indore. – AGENSI