KUALA LUMPUR – Teka-teki akhirnya terjawab apabila anggota kumpulan popular Dolla, Sabronzo sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Ryan Fieret.
Perkara itu dikongsi sendiri penyanyi berusia 30 tahun itu atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli menerusi Instagram dengan memuat naik beberapa keping foto perkahwinan.
Tanpa sebarang kapsyen panjang, Sabronzo hanya meletakkan emoji cincin dan hati, namun cukup membuatkan peminat teruja.
Lebih menarik, suaminya bukan calang-calang individu sebaliknya seorang DJ dan penerbit muzik elektronik dari Belanda yang kini menjadi anggota utama kumpulan antarabangsa terkenal, Dash Berlin.
Dalam foto yang dikongsikan, Sabronzo tampil anggun dengan gaun putih manakala pasangannya segak bergaya dalam tuksedo krim.
Menerusi hantaran sama, turut dimuat naik gambar dipercayai ketika majlis akad nikah pasangan tersebut.
Terdahulu, tular gambar perkahwinan mereka yang dipercayai berlangsung di Bali, Indonesia sejak Khamis lalu.
Untuk rekod, sekitar Mei lalu timbul spekulasi Sabronzo menjalin hubungan cinta dengan DJ antarabangsa itu selepas mereka kerap dilihat berbalas komen di media sosial.
Mereka dikatakan mula rapat selepas sama-sama terlibat dalam sebuah acara sekitar awal tahun 2024. – KOSMO! ONLINE