KLANG – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan meninjau dan menyertai raptai penuh istiadat perarakan pernikahan baginda di sini, hari ini.
Perarakan sejauh kira-kira 650 meter bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga ke Istana Alam Shah itu diiringi Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat dan paluan kumpulan kompang Istana Diraja Selangor.
Tengku Amir Shah diarak dengan menaiki kenderaan istana jenis Rolls Royce A1 sebelum sesi diteruskan di Istana Alam Shah bagi raptai istiadat pernikahan.
Pada raptai bermula kira-kira pukul 9 pagi itu, sebanyak dua das tembakan meriam dilepaskan.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain.
Pada 22 September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memaklumkan putera baginda itu akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Afzaa Fadini Abdul Aziz pada Khamis ini.
Istiadat Pernikahan Diraja itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di sini, manakala Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja pula di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja istana sama pada 22 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE