RABAT – Berpuluh-puluh orang ditahan di Maghribi semalam pada hari kedua tunjuk perasaan menuntut pembaharuan pendidikan dan kesihatan awam, demikian menurut kumpulan hak asasi tempatan dan wartawan AFP.
Di ibu negara Maghribi, Rabat, pasukan keselamatan menghalang kumpulan anak muda daripada berkumpul di beberapa lokasi di pusat bandar, di mana berpuluh-puluh orang ditahan.
Protes yang turut menyaksikan berpuluh-puluh tangkapan dibuat pada Sabtu lalu itu dimulakan oleh kumpulan dikenali sebagai GenZ 212. Pengasas kumpulan itu bagaimanapun tidak diketahui.
Gen Z atau Generasi Z merujuk kepada mereka yang lahir antara tahun 1991 hingga 2012.
Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Maghribi (AMDH) cawangan Rabat, Hakim Sikouk berkata, lebih 100 tangkapan dibuat di Rabat dan berpuluh-puluh lagi di Casablanca, Marrakesh, Agadir serta Souk Sebt.
Menurutnya, lebih 70 orang yang ditahan sehari sebelumnya di Rabat telah dibebaskan.
Tangkapan tersebut menerima kecaman AMDH serta parti pembangkang.
GenZ 212 mengeluarkan gesaan supaya rakyat menunjuk perasaan beberapa hari sebelumnya di platform Discord, dengan memetik isu utama seperti kesihatan, pendidikan dan memerangi rasuah sambil menyatakan rasa cinta kepada tanah air.
Protes itu berlaku ketika rasa tidak puas hati rakyat terhadap ketidaksamaan sosial di Maghribi semakin memuncak.
Laporan terbaharu mengenai kematian lapan wanita hamil di sebuah hospital awam di Agadir turut menjadi punca kemarahan orang ramai. – AFP