JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan nekad seorang pemandu mengheret seorang perompak yang berpaut di cermin kenderaannya untuk dibawa ke balai polis, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku di Kot Bandung, wilayah Jawa Barat.
Dalam video tersebut, perompak berkenaan dilihat berpaut pada cermin kereta yang dipandu laju menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jawa Barat.
Menurut pemandu berkenaan, kejadian berlaku ketika pukul 4.30 pagi (waktu tempatan) apabila keadaan jalan raya lengang dan sunyi.
Katanya, sebuah kenderaan tiba-tiba berhenti di hadapan keretanya, membuatkan dia turut sama berhenti kerana menyangka berlakunya kemalangan.
Namun, empat lelaki tiba-tiba meluru keluar dari kereta tersebut dan menyuruh pemandu berkenaan turun dari kenderaannya.
“Salah seorang daripada mereka membuka pintu dan menyuruh saya keluar dari kereta. Saya ketakutan melihat dua yang lain memegang senjata tajam.
“Salah seorang daripada mereka memasukkan kepalanya di tingkap, membuatkan saya menekan pedal minyak dengan laju dan menyeretnya ke balai polis,” kata pemandu tersebut.
Bagaimanapun, sejurus tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah, suspek melarikan diri dan tidak sempat ditangkap.
Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Jawa Barat, Komisioner Hendra Rochmawan berkata, polis menyiasat kes itu dan sedang memburu kesemua suspek. – AGENSI