KEPALA BATAS – Pelumba berpengalaman negara, Mohd. Shahrul Mat Amin menjadikan aksi peringkat ketiga saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 antara sasarannya memburu penamat terbaik.
Dengan perlumbaan sejauh 198.2 kilometer (km) dari Gerik ke Pasir Puteh melibatkan tiga zon pendakian dan tiga zon pecutan, Shahrul mengakui dia sudah pun menyimpan tenaga apabila tidak mengerah segala kudrat ketika peringkat kedua hari ini.
Katanya, perlumbaan peringkat ketiga hari ini lebih sukar, terutamanya ketika 65km pertama selain meletakkan sasaran untuk berada di kelompok hadapan sebaik sahaja melepasi tiga zon pendakian.
“Memang kita ambil pendekatan untuk tenang sedikit pada aksi peringkat kedua kerana ia perlumbaan yang panjang. Selepas itu barulah kita akan ‘full gas’ pada perlumbaan peringkat ketiga (esok).
“Kita risau jika berikan segala-galanya di peringkat kedua, ia akan menjejaskan aksi peringkat ketiga. Apa yang pasti, 65km pertama di peringkat ketiga memang menjanjikan aksi cukup sukar,” katanya.
Bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu turut meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok hadapan sebaik sahaja melepasi zon pendakian kerana mahu mencuba nasib ketika pecutan terakhir menuju garisan penamat.
Tambah Shahrul, dia ingin mengulangi prestasi pada edisi 2018 di mana dia berjaya menamatkan perlumbaan yang mengharungi laluan hampir sama dalam kelompok 15 pelumba terbaik.
“Bagi saya sendiri, memang saya meletakkan sasaran untuk melepasi laluan berbukit dalam kelompok pertama. Saya juga akan berusaha untuk masuk dalam aksi pecut beramai-ramai untuk ke garisan penamat.
“Sebelum ini pada 2018, kita mengharungi laluan yang sama. Ketika aksi penamat di Tanah Merah, saya berada di kedudukan ke-11 ataupun 12 dan masuk ke aksi pecut. Insya-Allah saya mahu mengulangi prestasi itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE