fbpx
Anthony ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Bersepadu Gombak di sini hari ini.

Jangan hanya masa PM datang, semuanya elok, cantik – Anthony Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Pengurusan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) perlu memastikan kemudahan bernilai RM307 juta itu sentiasa diselenggara dengan baik setiap masa dan bukan hanya ketika acara rasmi sahaja.

Ini kerana kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, terminal berkenaan dibina bagi
meningkatkan mobiliti dan mengangkat status Lembah Klang sebagai pusat bandar bertaraf dunia.

Beliau berkata, kebersihan dan kemudahan yang ditonjolkan pada majlis pelancaran itu perlu dikekalkan supaya terminal itu mencerminkan kualiti sistem pengangkutan awam Malaysia.

“Biasanya bila PM (Perdana Menteri) datang, sudah tentu semua nampak cantik. Semua bersih, semua lif dan eskalator berfungsi, tetapi bila PM tiada kita mula nampak masalahnya.

“Saya harap pihak pengurusan TBG dapat mengekalkan perkhidmatan yang baik seperti yang kita lihat hari ini, ketika PM hadir,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, TBG juga akan menjadi hab utama pengangkutan awam ke Pantai Timur selepas Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Menurutnya, terminal moden itu sudah mula beroperasi sejak April lalu namun penggunaannya masih rendah kerana kerajaan belum mewajibkan bas ekspres ke Pantai Timur beroperasi dari situ.

“Kita akan melihat semula perancangan dan memastikan bas-bas ekspres, terutamanya ke arah Pantai Timur, bermula atau tiba di terminal ini. Harapan kita terminal ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau, kelebihan TBG adalah lokasinya yang strategik dengan integrasi bersama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terletak bersebelahan terminal berkenaan.

“Ia akan dihubungkan dengan eskalator dan walkalator supaya pengguna mendapat kemudahan lebih selesa, lancar dan selamat. Terminal ini juga bakal diintegrasikan dengan LRT,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN