NOTTINGHAM – Sunderland tidak menunggu lama untuk menunjukkan impak hebat dalam kemunculan semula di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hampir sedekad menyepi daripada saingan berprestij England itu.
Menariknya, pendatang baharu itu kini baru merekodkan satu kekalahan daripada enam perlawanan EPL setakat ini dengan kini berada di tangga keempat menerusi 11 mata hasil tiga kemenangan dan dua seri.
Ia termasuk kemenangan berharga 1-0 ke atas pasukan yang beraksi di Liga Europa musim ini, Nottingham Forest hasil jaringan tunggal Omar Alderete di City Ground awal pagi semalam.
Pengurus Sunderland, Regis Le Bris menghamburkan pujian tinggi kepada barisan pemainnya yang kini sudah mengutip separuh mata daripada 24 diraih mereka ketika kali terakhir beraksi di EPL pada musim 2016/17.
“Forest memberikan ancaman terutamanya selepas mereka memasukkan lima pemain serangan selepas kami menjaringkan gol. Kami sudah menjangkakan perkara itu, jadi kami bertahan dengan lima pemain di belakang.
“Ia satu kemenangan yang bermakna kerana cabaran hari ini tidak mudah. Manisnya adalah ini kemenangan pertama kami di tempat lawan, jadi sebab itu saya amat berbangga dengan pemain,” katanya.
Nasib berbeza dialami pengendali Forest, Ange Postecoglou yang kini masih gagal untuk melakar kemenangan pertamanya bersama pasukan itu sejak dilantik menggantikan Nuno Espirito Santo yang dipecat awal bulan ini.
Sebagai rekod, Forest yang terus gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut di semua kejohanan, kini berada di kedudukan ke-16, dua anak tangga daripada zon penyingkiran. – AGENSI