KUALA LUMPUR – Beraksi dalam iklim berbeza berbanding negara sendiri nyata tidak menghalang peserta Iceland, Kristjan Chapman untuk memenangi acara MY100 pada Kejohanan Malaysia Ultra-Trail by UTMB (MYUT).
Pada saingan yang berlangsung di Taiping Sabtu lalu, peserta-peserta bagi kategori MY100 itu perlu mengharungi laluan sejauh 96.7 kilometer (km) yang turut melibatkan pendakian di Bukit Larut.
Meskipun diberikan cabaran oleh peserta China, Xingzhi Bai sepanjang perlumbaan, namun Chapman tidak mudah mengaku kalah apabila menunjukkan keazaman tinggi sebelum menamatkan saingan menerusi catatan masa 11 jam 39 minit 26 saat (s).
Chapman berkata, dia langsung tidak menjangka akan menerima tentangan begitu sengit daripada pencabar lain sepanjang perlumbaan tersebut, namun tetap gembira kerana berjaya membawa pulang gelaran juara.
“Bagi saya, pertandingan ini mengatasi segala-galanya dan ia memang tidak dijangka kerana sangat kompetitif. Saya diberikan tentangan sengit oleh Bai sehingga perlumbaan memasuki 90km.
“Berubah dari suhu -10 celsius kepada cuaca lebih panas merupakan satu cabaran yang sangat sukar. Walaupun sudah berada di sini selama enam bulan, masih sukar untuk menyesuaikan diri dengan kelembapan,” katanya.
Mengiringi Chapman di podium adalah Bai yang mencatat masa 11’51:51s selaku naib juara manakala tempat ketiga menjadi milik Kanta Mizutani dari Jepun dengan catatan masa 12’14:56s.
Dalam saingan wanita pula menyaksikan peserta China, Wenli Jiang muncul juara menerusi catatan masa 15’11:33s diikuti Mika Taniguchi dari Jepun (15’32:41s) dan peserta Hong Kong, Kit Ying So (16’29:42s).
Sementara itu, saingan MYUT turut mempertaruhkan beberapa kategori lain termasuk MY50 serta MY25 lelaki dan wanita dengan tiga pelari terbaik setiap kategori layak beraksi pada Siri Akhir UTMB Dunia 2026. – KOSMO! ONLINE