JOHOR BAHRU – Bekas jurugambar Utusan Malaysia, Ishak Rahmad meninggal dunia ketika berada di rumah keluarganya di Taman Kemas di sini, petang tadi.
Allahyarham Ishak menghembus nafas terakhir pada usia 62 tahun kira-kira pukul 6.50 petang ketika membetulkan pintu pagar rumah milik ibunya.
Menurut anaknya, Muhammad Harith Imanni, 28, bapanya baharu sahaja sampai di Johor Bahru, malam semalam dari kediaman keluarga di Puchong, Selangor.
“Ayah datang ke Johor Bahru dan bermalam di rumah nenek di Taman Kemas, di sini sebab nak menghadiri majlis kenduri saudara di Ayer Baloi, Pontian hari ini.
“Keadaan ayah nampak ceria dan tiada apa-apa perubahan cuma semasa kami bersembang dia berpesan supaya kami adik-beradik jaga solat dan jaga diri, kami pun tidak menduga ayah akan pergi meninggalkan kami.
“Selepas balik kenduri, ayah betulkan rel pintu pagar rumah dalam pukul 6.30 macam itu, dia buat kerja seorang diri dekat luar, tiba-tiba jiran panggil cakap ayah rebah,”katanya ketika ditemui di Taman Kemas, di sini.
Allahyarham Ishak meninggalkan seorang isteri, Latifah Ahmad, 56, dan tiga orang anak iaitu Muhammad Haziq Imanni, 29, Muhammad Harith Imanni dan Helena Imanina, 22.
Beliau mula berkhidmat sebagai jurugambar Utusan Malaysia pada tahun 1991 sebelum mengambil keputusan untuk mengambil Skim Pemisah Sukarela pada tahun 2018.
Dalam pada itu, Muhammad Harith berkata, jenazah bapanya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, Skudai di sini, kira-kira pukul 9 pagi ini. – KOSMO! ONLINE