TIDAK meletakkan sebarang jangkaan yang tinggi, kumpulan 4U2C berjaya membawa peminatnya kembali ke zaman kegemilangan muzik mereka sekitar tahun 1990-an.
Momen tersebut perlahan-lahan dicipta kumpulan yang dianggotai Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam pada konsert We 4U2C Live In Kuala Lumpur di Idea Live Arena, Petaling Jaya baru-baru ini.
Dihentam kiri, kanan, atas dan bawah sepanjang tiga bulan sebelum acara berlangsung, konsert yang dihadiri lebih 3,000 penonton itu penulis boleh katakan cemerlang dalam kelasnya yang tersendiri.
Memulakan acara tepat pukul 8.30 malam, pentas Idea Live Arena dipanaskan dengan persembahan Reeve Damien, anak lelaki kepada AC Mizal dan Datin Emylia Rosnaida.
Mewarisi darah seni ibu bapanya, Damien tidak kelihatan canggung sepanjang mendendangkan tiga lagu. Paling dinanti-nanti ramai, 4U2C membuatkan ramai terpukau seketika apabila muncul dengan persembahan pembuka menerusi lagu Sini Go Sana No, Dynamite dan Hip Hop Tip Top.
Paling mencuri perhatian penulis ialah 4U2C tidak ketinggalan memakai rantai CD yang pernah menjadi ‘trademark’ mereka suatu ketika dulu.
Tanpa berlengah, 4U2C mengekalkan momentum pada segmen seterusnya dengan lagu Kembalilah Fiona, 1st Love, Kenangan Cinta dan Fiona sekali gus membuatkan peminat terimbau zaman percintaan era 1990-an.
Selain persembahan hebat 4U2C, konsert tersebut diserikan lagi dengan kemunculan istimewa dua kumpulan wanita yang pernah mencipta nama sekitar 1990-an iaitu MsTeen dan Res 2.
Tidak cukup dengan itu, kumpulan yang terdiri daripada Lan, Jeff dan Chap iaitu A to Z bikin ‘havoc’ dengan lagu popular mereka, Itik Gembo-Gembo serta Darjat.
Pentas kemudiannya diakhiri dengan lagu Boom, Video Game dan Kami Rappers.
Mungkin penulis tidak membesar pada zaman era kegemilangan kumpulan itu namun persembahan mereka tidak membosankan.
Lincah menari dan busana yang digayakan menepati tema iaitu menghidupkan kembali era 1990-an.
Ternyata mood itu berjaya dijelmakan 4U2C sepanjang dua jam konsert berlangsung ditambah pula dengan susunan muzik hebat hasil sentuhan Aubrey Suwito selaku pengarah muzik.
Penuh bertenaga dan tidak berlebih-lebihan untuk membuktikan kehebatan, cukup untuk melunaskan impian mereka memiliki sebuah konsert solo berskala mega buat pertama kali dan terakhir.

Penat tiga bulan
Menurut AC, konsert tersebut meninggalkan jutaan memori buat 4U2C dan pihak yang terlibat terutama selepas menjalani tempoh latihan berbulan lamanya.
“Memang seronok konsert berlangsung dengan baik tetapi kemudian hari kami sedih sebab tiada lagi sesi latihan bersama-sama.
“Saya hargai semua masa yang telah diberikan semua ahli kumpulan, terima kasih.
“Kami berlatih setiap malam selama tiga bulan dan berusaha mendapatkan stamina untuk konsert ini. Akhirnya konsert ini terlaksana,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azam berkata, semangat mereka tidak pernah luntur meski pernah dihujani komen negatif netizen mengenai penganjuran konsert tersebut sebelum ini.
“Kami tak pernah terkesan dengan komen netizen sebaliknya pasak tekad mahu hiburkan peminat mengikut kemampuan sahaja.
“Kalau orang masih tak puas hati, biarkan sebab konsert pun sudah habis.
“Bagi kami, sudah sangat bersyukur dapat hiburkan peminat, diberikan kesihatan baik, stamina dan suara untuk hiburkan ramai,” katanya lagi.