fbpx
Lip Eng

Ahli Parlimen Kepong kena bayar RM75,000, bukannya RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng diarah membayar ganti rugi RM75,000 berbanding jumlah asal RM2 juta kepada MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang dalam kes saman fitnah.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Faizah Jamaludin di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Mahkamah menetapkan demikian selepas mendapati jumlah ganti rugi RM2 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah keterlaluan, namun kekal dengan keputusan mendapati Lip Eng telah memfitnah kedua-dua responden.

Panel itu turut mengurangkan jumlah kos yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi daripada RM250,000 kepada RM50,000.

Pada 16 Mac 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lip Eng selaku defendan membayar RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Jessy Lai sebagai plaintif selepas membenarkan saman fitnah mereka.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, mahkamah mendapati plaintif berjaya membuktikan tuntutan terhadap defendan kerana memfitnah dan mencemarkan imej serta reputasi mereka.

Jessy Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng sebagai pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China.

Plaintif berkata, defendan membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu dikatakan pelabur MonSpace ke pejabat dan membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada polis, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI