HANOI – Vietnam menutup lapangan terbang dan memindahkan beribu-ribu orang di kawasan yang berpotensi terjejas hari ini ketika Taufan Bualoi menghala ke arah negara itu, beberapa hari selepas menyebabkan sekurang-kurangnya 11 kematian dan banjir yang meluas di Filipina, lapor saluran berita ChannelNewsAsia.
Taufan itu yang membawa kelajuan angin sehingga 133 kilometer sejam setakat 9 pagi (waktu tempatan), dijangka mendarat di tengah Vietnam lewat hari ini.
Ia lebih awal daripada ramalan sebelumnya kerana ia bergerak pantas, demikian menurut agensi ramalan cuaca kebangsaan Vietnam.
“Ini adalah ribut yang bergerak pantas. Hampir dua kali ganda kelajuan purata, dengan keamatan yang kuat dan kawasan impak yang luas.
“Ia mampu mencetuskan pelbagai bencana alam secara serentak termasuk angin kencang, hujan lebat, banjir, banjir kilat, tanah runtuh dan banjir pantai,” tambah agensi itu.
Pihak berkuasa di wilayah tengah Ha Tinh telah mula memindahkan lebih 15,000 orang, kata kerajaan sambil menambah, beribu-ribu tentera sedang bersiap sedia.
Vietnam menggantung operasi di empat lapangan terbang pantai mulai hari ini termasuk lapangan terbang antarabangsa Da Nang, dan meminda masa berlepas beberapa penerbangan, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.
Hujan lebat telah menyebabkan banjir di Hue dan Quang Tri, kata kerajaan. – AGENSI