KLUANG – Bertarung nyawa kira-kira tiga jam sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospita Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) disini selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 71.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Muhamad Afif Aiqal Jailani,18, disahkan meninggal dunia pada pukul 5 pagi selepas dilaporkan terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 2.42 pagi tadi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam menuju ke Simpang Renggam dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC secara bersendirian.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan keatas motosikal ditunggangnya itu sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan dibahu kiri jalan.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dibeberapa bahagian badan dan dikejarkan ke HEBHK untuk mendapatkan rawatan,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon merah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE