PETALING JAYA – Seperti tidak berkesudahan, penyanyi Syada Amzah meluahkan rasa kecewa apabila namanya masih menjadi sebutan meskipun memilih untuk berdiam diri sejak awal tercetus kontroversi melibatkan seorang pempengaruh.
Ujar Syada atau nama sebenarnya Nursyuhada Amir Amzah, 27, dia mengambil keputusan untuk tidak membuka mulut demi menghormati semua pihak, namun selepas berbulan-bulan, dirinya tetap terpalit dalam isu tersebut.
“Saya pilih untuk diam dan menghormati walaupun saya boleh bersuara. Tapi selepas berbulan-bulan, nama saya masih disebut seolah-olah saya terlibat.
“Sebenarnya, awak yang menghubungi saya dan saya menyesal pernah menjawab panggilan itu. Melindungi maruah seseorang langsung tidak bermakna apabila mereka hanya memikirkan diri sendiri.
“Banyak kali hati saya hancur tahun ini, tetapi setiap kali datang bersama pengajaran. Jadi, terima kasih,” katanya dalam Threads.
Luahan itu dipercayai merujuk kepada konflik peribadi yang pernah mengheret dirinya sebelum ini dalam kemelut rumah tangga pempengaruh, Elcah dan suaminya, Afi Hamri.
Paling penting kata pelantun pagu Hasrat itu, kali ini dia benar-benar enggan lagi terlibat mahupun menjadi orang tengah kepada sesiapapun waima kawan sendiri kerana terlalu trauma.
“Saya tidak mahu terlibat lagi, benar-benar trauma. Tapi terima kasih,” tegasnya.
Terdahulu, nama adik kepada penyanyi Shila Amzah itu pernah dikaitkan dengan kemelut rumah tangga pempengaruh, Elcah dan suaminya, Afi Hamri.
Ketika itu, Afi mendakwa Syada menjadi punca keretakan rumah tangganya selepas dikatakan menghasut isterinya untuk bercerai.
Namun, Elcah tampil mempertahankan Syada dengan menjelaskan sahabat baiknya itu tidak terlibat secara langsung, sebaliknya hanya menjadi orang tengah sewaktu berlaku perselisihan dengan individu lain.
Konflik semakin memanas apabila pada Ogos lalu, Elcah memberi amaran terakhir kepada Syada selepas mendakwa penyanyi itu menghubungi rakan-rakannya untuk menyebarkan fitnah mengenai keluarganya.
Sebelum ini, Elcah atau nama sebenarnya Nuraien Adilla Hasha Akhbar, 29, turut mengakui hubungan persahabatan dengan Syada mula renggang akibat insiden melibatkan pihak ketiga.
Katanya, tindakan Syada seolah-olah tidak menyebelahi dirinya telah menambah luka dalam pergolakan rumah tangganya. – KOSMO! ONLINE