PETALING JAYA – Konvoi bantuan misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) semakin menghampiri ke pantai Gaza, Palestin ketika ini.
Berdasarkan perkongsian terbaharu aktivis dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA Strim, jarak konvoi tersebut dari pantai Gaza adalah kurang 400 batu nautika.
“Kami kini di perairan antarabangsa setelah 10 jam meninggalkan Pantai Crete Greece. Lautan Mediteranean sedikit berombak; dan harap kekal tenang.
“Tiga hari setengah lagi kami dijangka tiba di destinasi dengan hampir 50 kapal disertai 400 pelayar dari 44 negara,”katanya di laman Facebook sebentar tadi.
Mengulas lanjut, ZRA Strim berkata, semua kapal yang menyertai GSF itu sudah bersedia menempuh Zon Merah.
“Kami sudah bersedia kerana kerana flotilla ini ialah perjuangan yang ke-38 dalam tempoh 17 tahun; berusaha menembusi kepungan Israel.
“Sejak 2008 hingga Jun dan Julai 2025, semangat aktivis Flotilla tidak pernah padam.
Doakan kali ini, misi ke 38 ini diberikan peluang sampai ke destinasi. Aamin Ya Rabb Alamin,”tulisnya.-KOSMO! ONLINE