MUADZAM SHAH – Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh dari sebuah bot ketika keluar memancing di Sungai Kampung Kedaik Lama, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Sharuddin, 43, dikhuatiri lemas apabila tidak timbul semula selepas terjatuh dari bot yang dinaiki bersama rakannya di kawasan sungai berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.28 pagi.
“Kejadian itu telah dilaporkan oleh rakan mangsa yang bersama menaiki bot berkenaan. Susulan itu , sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dengan kekuatan lapan anggota bersama sebuah jentera, lori dan sebuah bot digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba di lokasi pada pukul 12.03 tengah hari selepas menempuh perjalanan sejauh 77 kilometer dari Keratong 4,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pekan bersama empat anggota turut digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi masih diteruskan dengan pemantauan dan pencarian di sekitar sungai berkenaan,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE