PUTRAJAYA – Al-Madinah International University (Mediu) akan memperkenalkan beberapa jurusan baharu berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) bermula tahun hadapan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Inovasi) Mediu, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, langkah tersebut diambil seiring dengan perkembangan teknologi tersebut ketika ini dan jurusan itu akan ditawarkan di Fakulti Teknologi Maklumat.
Beliau berkata, dengan penawaran jurusan baharu itu, ia mampu meningkatkan kira-kira 20 peratus kemasukan pelajar baharu di Mediu pada masa akan datang.
“Memang ada rancangan untuk untuk kita adakan program berteraskan AI di bawah Fakulti Teknologi Maklumat. Jadi akan ada satu program kursus.
“Tapi pada masa yang sama, program-program lain juga akan ada kursus elektif tentang AI supaya semua pelajar tahu tentang AI, apliaksi AI. Tidak kiralah mereka ambil jurusan bahasa atau pelajar bidang kewangan, tapi yang ini telah berjalan.
“Bagi jurusan khusus tentang AI kita telah bincang dengan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) sebab ia melibatkan perubahan kurikulum. Saya jangka, tahun depan, kita sudah ada (tawarkan) kursus AI ini,”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen ke-5 Mediu di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 1,287 graduan Mediu terdiri daripada 1,111 pelajar antarabangsa dan tempatan menerima anugrerah masing-masing.
Daripada jumlah tersebut, seramai 713 orang adalah penerima Ijazah Sarjana Muda, 349 (Sarjana) dan 225 (PhD) yang terdiri daripada pelajar dari rantau Asia, Asia Barat dan Afrika.
Konvokesyen itu turut disertai oleh 22 pelajar antarabangsa secara maya itu merupakan graduasi bagi tahun pengajian 2021 hingga 2024 yang ditangguh berikutan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Kamal Nasharuddin berkata, hampir 90 peratus graduan Mediu kini adalah kalangan pelajar antarabagsa membabikan 97 buah negara.
Namun katanya, pihaknya sesekali tidak mengabaikan pelajar tempatan yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.
“Mediu akan berusaha menarik minat pelajar tempatan menyambung pengajian di sini. Kita akan bekerjasama dengan sekolah tahfiz dan sekolah agama supaya lebih ramai pelajar tempatan menyambung pengajian di Mediu,”jelasnya.-KOSMO! ONLINE