PETALING JAYA – Malaysia terus menggesa masyarakat antarabangsa mengenakan sekatan tegas terhadap Israel, sambil menegaskan bahawa dunia kini sedang menyaksikan satu bentuk genosid di Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Israel tidak boleh lagi berselindung di sebalik naratif kononnya sebagai mangsa.
“Dari London ke Dhaka, dari Paris ke Sydney, dari Montreal ke Kuala Lumpur, rakyat bangkit menyuarakan rasa marah dan sedih.
“Semakin ramai yang bersuara menyatakan kebenaran bahawa Israel sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” katanya dalam ucapan pada Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2025), di New York hari ini.
Menurut beliau, meskipun sudah 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua, penjajahan dan kolonialisme masih wujud, malah terus dipersenjatai, dibiayai serta disokong oleh kuasa-kuasa besar yang mendakwa diri mereka liberal.
“Dengan ulang tahun ke-80 PBB, saya sepatutnya ucapkan tahniah, tetapi hari ini, ucapan itu kosong. Patutkah kita bergembira kerana masih gagal menamatkan penjajahan Palestin? atau kerana membiarkan sebuah negara tidak menghormati Piagam PBB?” tegasnya.
Mohamad turut memberi amaran bahawa kekejaman Israel tidak hanya memberi kesan kepada Palestin semata-mata, malah berisiko menjejaskan kestabilan rantau dan keamanan global.
Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada serangan terbaharu Israel di Doha, Qatar sebagai contoh ancaman yang boleh merebak lebih luas.
“Sebab itu hanya menyeru penyelesaian dua negara tidak lagi memadai,” katanya.
Selain mendesak tindakan tegas terhadap Israel, Mohamad turut menggariskan sokongan jangka panjang Malaysia terhadap pembangunan sebuah negara Palestin yang berdaulat serta reformasi PBB agar tragedi sama tidak berulang.
Terdahulu, media melaporakn selain menyertai beberapa mesyuarat peringkat tertinggi sempena UNGA 2025, Mohamad juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dan Setiausaha Agung PBB. – KOSMO! ONLINE