KUALA TERENGGANU – Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk makanan sejuk beku seberat 76.8 tan tanpa permit import dalam tiga serbuan berasingan baru-baru ini.
Pengarah Kastam Terengganu, Hasbollah Din berkata, rampasan membabitkan tiga kontena itu dianggarkan bernilai keseluruhan RM2.95 juta termasuk duti import.
Beliau berkata, kes pertama melibatkan pemeriksaan sebuah kontena yang mengisytiharkan kononnya membawa sayuran campuran sejuk beku pada 23 Jun lalu.
“Pemeriksaan mendapati sebenarmua kontena berkenaan mengandungi dada ayam tanpa tulang seberat 27,966 kilogram bernilai RM680,302.80 dengan jumlah duti import RM136,060.56.
“Sebuah lagi kontena mencurigakan kemudiannya turut ditahan bagi pemeriksaan di Terminal 1, Zon Perdagangan Bebas, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 23 Julai lalu,” katanya di sini hari ini.
Hasbollah berkata, hasil pemeriksaan menemukan dada itik salai sejuk beku yang tidak mempunyai sebarang permit import dengan nilai rampasan RM1.15 juta dan duti import RM230,142.71.
Beliau berkata, kes ketiga pula melibatkan sitaan 25,056 kilogram ayam sejuk beku bernilai RM625,618.80 dengan duti import RM125,123.76 yang turut diisytihar sebagai sayuran campuran sejuk beku.
“Semua pengimportan itu memerlukan permit Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) tetapi gagal dikemukakan pengimport,” katanya. – KOSMO! ONLINE