fbpx
KANE menjaringkan dua gol buat Bayern ketika menewaskan Bremen dalam aksi Bundesliga awal pagi semalam. - AFP

Kane cemerlang atasi Haaland, Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUNICH – Harry Kane terus memahat sejarah bersama Bayern Munich apabila meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Werder Bremen di Allianz Arena awal pagi semalam, sekali gus mencapai 100 jaringan bersama gergasi Jerman itu.

Penyerang England berusia 32 tahun itu menjaringkan gol kedua Bayern menerusi sepakan penalti pada minit ke-44, rekod sempurna ke-18 berturut-turutnya di Bundesliga selepas Jonathan Tah membuka tirai jaringan pasukan.

Kane kemudian menambah gol keduanya pada minit ke-65 apabila pantas menyambar bola muntah hasil rembatan Luis Diaz, menjadikan koleksi peribadinya 100 gol hanya dalam 104 penampilan.

Catatan itu merupakan rekod terpantas dalam lima liga utama Eropah sejak tahun 2000, mengatasi Cristiano Ronaldo dan Erling Haaland yang masing-masing memerlukan 105 perlawanan untuk mencapai angka berkenaan.

“Ini satu penghormatan buat saya. Sangat gila bila fikir saya sudah mencapai 100 gol untuk kelab hebat ini dalam masa singkat.

“Semua ini juga hasil bantuan rakan sepasukan dan jurulatih. Harapnya saya boleh terus kejar 100 lagi,” kata Kane.

Spekulasi mengenai kemungkinan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi klausa kontraknya kembali hangat, namun Kane pantas menepis perkara itu.

“Buat masa ini tidak. Saya gembira di sini. Saya menikmati setiap detik bersama pasukan dan jurulatih. Itu sahaja dalam fikiran saya sekarang,” ujarnya.

Kane kini mengetuai carta penjaring terbanyak Bundesliga dengan 10 gol selepas lima perlawanan musim ini, mengukuhkan reputasinya sejak berhijrah dari Tottenham Hotspur pada 2023.

Kemenangan besar itu mengekalkan Bayern di puncak liga dengan 15 mata, lima mata di depan Borussia Dortmund, sekali gus menjadi bekalan terbaik sebelum bertandang ke Cyprus untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Pafos, Rabu ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI