BEIRUT – Ketua Hezbollah, Naim Qassem menegaskan bahawa pergerakan itu tidak akan melucutkan senjata meskipun menerima tekanan daripada kerajaan Lubnan.
Naim berucap kepada penyokong-penyokong Hezbollah semalam pada acara setahun memperingati pembunuhan pendahulunya, Hassan Nasrallah oleh Israel.
Pemimpin terkenal itu terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut pada 27 September 2024.
Tanpa Hassan dan dengan banyak keupayaan ketenteraannya dimusnahkan oleh Israel, cengkaman Hezbollah terhadap politik Lubnan semakin lemah, manakala Beirut telah mengarahkan tentera melucutkan senjata kumpulan itu.
“Kami tidak akan sekali-kali melucutkan senjata, kami juga tidak akan menyerahkannya,” kata Naim kepada puluhan ribu penyokong yang berkumpul di makam Hassan semalam.
“Kami bersedia untuk syahid,” tambahnya.
Hezbollah yang disokong Iran dan dilemahkan oleh perang maut dengan Israel tahun lalu, menganjurkan satu siri acara peringatan untuk menandakan kematian Hassan.
Dengan mengibarkan sepanduk kuning kumpulan itu serta bendera Lubnan, Palestin dan Iran, penyokong Hezbollah berkumpul di makam berhampiran lapangan terbang Beirut sambil melaungkan slogan ‘matilah Amerika, matilah Israel’.
Seorang pelajar universiti berusia 21 tahun, Ali Jaafar memberitahu AFP: “Menyerahkan senjata adalah impian musuh, dalaman dan luaran. Namun, ia akan kekal sebagai mimpi mereka.”
Meskipun gencatan senjata dilaksanakan pada November tahun lalu yang menamatkan permusuhan selama setahun antara Hezbollah dan Israel, askar Rejim Zionis masih meneruskan serangan tetap ke atas Lubnan dan kekal menempatkan tentera di lima titik sempadan di dalam negara itu.
Hezbollah berada di bawah tekanan kuat untuk menyerahkan senjatanya, manakala tentera Lubnan merangka rancangan untuk melucutkan senjata kumpulan tersebut bermula di selatan. – AFP