LONDON – Arsenal boleh melupakan peluang untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun saingan musim ini baru berlangsung lima perlawanan sekiranya mereka tewas kepada Newcastle United di St. James Park malam ini.
Kegagalan untuk meraih tiga mata secara tidak langsung akan menyukarkan The Gunners untuk mengejar pendahulu liga yang juga juara bertahan, Liverpool.
Disebabkan itu, hanya kemenangan dilihat boleh memberikan keyakinan kepada para penyokong untuk terus berharap Arsenal mampu menamatkan penantian 20 tahun bergelar juara EPL sejak kali terakhir pada 2005.
“Jujurnya saya kecewa dengan keputusan seri (1-1) menentang Manchester City minggu lalu. Saya juga kurang gembira melihat aksi Arsenal ketika menang ke atas Athletic Bilbao di UCL (Liga Juara-Juara Eropah).
“Anda kalah dalam UCL pun tidak mengapa kerana anda sudah lama tidak memenangi EPL. Sekarang sudah 20 tahun dan perkara ini boleh berlarutan jika Arsenal terus gagal dalam saingan liga.
“Saya benci dengan ayat ‘liga masih panjang, ada 30 perlawanan lagi’. Anda perlu menang dan kutip sebanyak mungkin mata, jadi aksi menentang Newcastle wajib menang. Jika kalah, boleh lupakan (EPL),” kata Merson.
Sementara itu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta memberi bayangan kaptennya, Martin Odegaard berkemungkinan diturunkan dalam kesebelasan utama walaupun baru dua hari kembali berlatih selepas mengalami kecederaan.
Odegaard terlepas tiga perlawanan terakhir Arsenal dalam semua kejohanan selepas mengalami kecederaan bahu ketika menewaskan Nottingham Forest 3-0 awal bulan lalu.
“Martin ada kebolehan untuk terus beraksi walaupun kurang latihan. Dia seorang pemain yang berbakat besar dan saya percaya kehadirannya akan memberi nilai tambah kepada pasukan,” jelas Arteta. – AGENSI