fbpx
BADRUL AFZAN mengendalikan sesi latihan terakhir pasukan sebelum hadapi KL City petang ini. - TFC

TFC berlatih aksi cuaca panas petang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERENGGANU FC (TFC) perlu bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran cuaca panas bermain pada waktu petang ketika berhadapan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, aksi petang menuntut para pemain agar lebih fokus, bijak mengawal permainan dan mengelak kesilapan mudah yang boleh membuka peluang kepada pihak lawan mencipta kejutan.

“Kita kena kawal tempo, main secara bijak dan elak sebarang kesilapan yang boleh membuka ruang untuk lawan. Ini penting apabila bermain waktu petang yang lebih mencabar fizikal.

“Saya mahu mereka mengekalkan rentak positif sebelum ini agar kita terus bersaing untuk berada di kelompok teratas liga,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak semalam.

Badrul Afzan berharap agar benteng pertahanan TFC tidak leka dan memandang ringan keupayaan KL City memandangkan lawan turut memiliki barisan pemain berpengalaman seperti bekas kapten skuad Sang Penyu musim lalu, Safawi Rasid.

“Kita juga perlu memberi tumpuan terhadap kekuatan lawan pada situasi bola mati dan sepakan percuma yang sering menjadi senjata utama KL City mencipta gol.

“Saya percaya dengan perancangan taktikal pasukan yang mampu mengekang ancaman tuan rumah serta memberi peluang terbaik buat kami meraih keputusan positif,” katanya.

Begitupun, Badrul Afzan mengakui perancangan pasukan sedikit terganggu selepas tonggak utamanya, Akhyar Rashid tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan buku lali.

Bagaimanapun, barisan kejurulatihan TFC telah menyiapkan beberapa pemain lain bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Akhyar.

TFC dan KL City menghuni kelompok tiga teratas Liga Super dengan The City Boys berada di tangga kedua menerusi 13 mata, manakala skuad Penyu di tempat ketiga selepas mengumpul 10 mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN