PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menganggap ada entiti luar yang cuba mempengaruhi keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menghukum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelaskan di platform laman sosial X bahawa FAM sudah mengikuti setiap proses dan menjalinkan kerjasama dengan FIFA dan pihak kerajaan.
“FIFA pun dah approve (luluskan) sebelum ini tetapi kenapa keputusan bertukar now (sekarang)? Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?.
“Lagi satu persoalan, hukuman telah dijatuhkan tanpa memberi sebab-sebab keputusan. Tambahan lagi, FIFA cepat untuk mengeluarkan keputusan tersebut dalam public domain (secara umum di laman sosial) walaupun proses rayuan belum selesai.
“Who was in New York? (Siapakah yang berada di New York),” kata Tunku Mahkota Ismail.
Sebagai rekod, FAM bersama tujuh pemain warisan negara berdepan tindakan tegas apabila Jawatankuasa Disiplin FIFA mengenakan hukuman berat selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen.
Tunku Mahkota Ismail juga berharap FAM segera melakukan rayuan dan melawan keputusan badan induk bola sepak antarabangsa itu selepas turut berkongsi surat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
“Saya berharap FAM akan membuat rayuan secepat mungkin. Ini adalah surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara.
“Takkan kita takut dan nak tunduk dgn individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya. Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” kata Tunku Mahkota Ismail.
FAM dalam kenyataan berasingan mengesahkan bakal menghantar rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada untuk memulihkan semula ‘maruah’ skuad Harimau Malaya. – KOSMO! ONLINE