SUNGAI SIPUT – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput (U), di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd. Zolkafly Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Dalam sembah ucapannya, Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasa belia tani melalui pengukuhan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memastikan sektor pertanian kekal berdaya saing sekali gus menjadi teras keterjaminan makanan negeri.
Katanya, inisiatif itu digerakkan melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 yang bermatlamat melahirkan lebih ramai generasi muda yang berkemahiran dalam bidang agro dan teknologi pintar.
“Kerajaan negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 menggariskan pelbagai inisiatif yang bersifat objektif. Usaha ini turut dizahirkan antara lain melalui inisiatif Bawang Perak,” katanya.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 15 pemenang kategori pertandingan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perak tahun 2025. – KOSMO! ONLINE