KUALA LANGAT – Tindakan Pasukan Polis Marin (PPM) mengekori sebuah kenderaan mencurigakan membuahkan hasil apabila membongkar penyeludupan arak hampir RM400,000 di sebuah premis di Bandar Tropicana Aman, semalam
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza itu diekori
ketika dirondaan dilakukan Unit Risik Marin (URM) Pelabuhan Klang Selangor bersama Unit Gempur kira-kira pukul 3 petang.
Katanya, anggota yang terlibat kemudiannya telah memperkenalkan diri sejurus tiba di premis itu sebelum melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, menemui pelbagai jenis minuman keras di dalam kenderaan itu serta sebuah lori lima tan.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan RM393,250,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, turut disita adalah lori dan MPV berkenaan dengan tiga lelaki warga India ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE