PETALING JAYA – “Hello si scammer (penipu) berhati busuk, dasar talam dua muka kau pandai berkata manis tapi tipu peniaga. Dengki dengan orang kah?”
Itu antara reaksi netizen mengecam tindakan seorang pelanggan menghilangkan diri selepas memesan hampir 600 biji popia.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, seorang peniaga wanita meluahkan rasa kecewa apabila diperdaya pelanggan yang tidak membayar wang pendahuluan kerana mendakwa mempunyai wang tunai sahaja.
“Saya dah minta dia (pelanggan) bayar wang pendahuluan (deposit) dulu sebab serik ditipu pelanggan sebelum ini, tapi katanya ikhlas membuat pesanan sebanyak itu untuk sambutan hari lahir anaknya.
“Pelanggan ini pesan popia sebanyak 12 set keluarga iaitu 520 biji popia dengan jumlah bayaran (harga) sebanyak RM741. Saya sanggup pergi kedai beli minyak tambahan untuk menyiapkan pesanan popia dalam masa dua jam. Namun, dia (pelanggan) terus menghilangkan diri,” katanya.
Menurutnya, dia malah cuba menghubungi pelanggan tersebut dengan menggunakan telefon milik pekerja, namun tiada jawapan.
Perkongsian tersebut menarik perhatian netizen di media sosial termasuk yang mengkritik tindakannya mengambil pesanan sebanyak itu tanpa wang pendahuluan.
“Hidup kau bosan sangat ke sampai sanggup aniaya orang cari rezeki?,” komen @Nyyyylara
“Syarat pertama bila berniaga, jangan ambil pesanan selagi tak bayar. Faham perasaan teruja dapat banyak pesanan, tapi manusia ini jangan percaya sepenuhnya,” kata Rabiatul.
“Tolong ambil wang pendahuluan (deposit), saya pun berniaga hingga serik dengan pelanggan. Kita (peniaga) dapat pesanan banyak macam ini siapa yang tak gembira. Jadikan pengajaran, semoga murah rezeki selepas ini,” komen @ramadhani_sholiahah2. – KOSMO! ONLINE